Search This Blog

Thursday, May 24, 2018

'Pemecatan' MB Perlis tak sah

KUALA LUMPUR: Pemecatan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, daripada UMNO, sejurus beliau mengangkat sumpah jawatan itu, hari ini, tidak sah.

Berdasarkan Perlembagaan UMNO, pemecatan seseorang ahli hanya boleh diputuskan Mesyuarat Majlis Tertinggi parti dan Pengerusi Perhubungan Negeri tidak mempunyai kuasa berkenaan.

Perkara itu disahkan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Pemecatan diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, yang beliau dakwa diputuskan sebulat suara oleh UMNO Perlis dalam satu mesyuarat, hari ini.

Shahidan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis, berkata keputusan itu dibuat susulan penolakan sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Perlis terhadap pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar.

"BN Perlis memenangi 10 kerusi daripada 15 kerusi yang dipertandingkan dan majoriti daripada ADUN ini tidak memberi sokongan kepadanya.

"Pemecatan beliau sudah dimaklumkan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang kini menjalankan tugas Presiden UMNO dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO," katanya.

Terdahulu, UMNO Perlis bermesyuarat kira-kira dua jam dengan Ahmad Zahid dan Hishammuddin.

Azlan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis untuk penggal kedua di hadapan, Tuanku Syed Sirajuddin jam 11.10 pagi, di Balai Menghadap, Istana Arau. Hanya tiga ADUN Pakatan Harapan (PH) dan dua ADUN PAS yang hadir.

Sebelum ini, Shahidan mengumumkan nama ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim, yang juga adiknya sebagai calon Menteri Besar.

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menyaksikan BN berjaya meraih 10 kerusi (DUN, manakala PH tiga kerusi dan PAS dua kerusi.

Sumber: berita harian online

Sape kt sini org Perlis?? 🙋‍♀️🙋‍♀️🙋‍♀️ Cer komen sket..

No comments:

Related Posts with Thumbnails