Search This Blog

Wednesday, May 23, 2018

Wang tunai, barang kemas isteri bekas Pengerusi Tabung Haji dirampas SPRM

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Rahim mengesahkan bahawa beberapa anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah datang ke rumahnya semalam.

Beliau yang dihubungi oleh Astro AWANI sebentar tadi mengesahkan kira-kira 10 anggota SPRM telah datang ke rumahnya sebelum memaklumkan kepada beliau untuk melakukan penggeledahan.

Kesemua pegawai SPRM itu hadir sekitar jam 1 petang semalam.

Tambah Azeez, daripada penggeledahan tersebut, pegawai SPRM turut merampas barang kemas milik isterinya serta wang tunai
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan jumlah wang tunai yang dirampas oleh SPRM.

Azeez berkata, beliau bersedia untuk memberi kerjasama penuh kepada SPRM jika diperlukan.

“Saya sedia pada bila-bila masa sahaja untuk membantu dan memberi kerjasama kepada SPRM dalam sebarang siasatan.

"Saya tiada apa yang hendak disembunyikan. Sebenarnya saya sudah duga ini akan berlaku memandangkan nama saya memang disebut," katanya.

SPRM pada Selasa melancarkan serbuan serentak di lima lokasi berbeza melibatkan kediaman dan juga pejabat Abdul Azeez.

Menurut sumber, serbuan dilakukan di kediaman beliau di Subang, Selangor dan Baling, Kedah.

Selain itu, SPRM turut membuat pemeriksaan di salah sebuah pejabat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

SPRM turut merampas wang tunai hampir RM500,000, lebih 20 jam tangan, dan lebih 20 mata wang asing pelbagai negara antaranya Taka (Bangladesh), Rufiya (Maldives), Riyal (Arab Saudi) dan juga Pound Sterling dengan nilai tukaran sekitar RM1.2 juta.

Difahamkan serbuan yang bermula 12.30 tengah hari itu dilakukan bagi membantu siasatan berhubung lantikan kontraktor melibatkan projek seliaan Tabung Haji.

Astro AWANI sudah cuba mendapatkan pengesahan daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM mengenai perkara ini.

Sumber: AstroAwani.com

No comments:

Related Posts with Thumbnails